"Tiap-tiap diri akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Sesiapa yang TERSELAMAT DARI NERAKA dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya BERJAYA lah dia, dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdaya." (Ali Imran : 185)

Baca Yasin Malam Jumaat



Imam as-Sayuthi dalam kitabnya "Khushushiyyaat Yawmil Jumu'ah" menulis:- Imam al-Baihaqi dalam kitab "asy-Syu`ab" telah mentakhrijkan daripada Abu Hurairah r.a., katanya:- Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam bersabda:- "MAN QARA-A LAILATAL JUMU`ATI HAAMIIM AD-DUKHAAN WA YAASIIN ASHBAHA MAGHFURAN LAHU" (Sesiapa yang membaca pada malam Jumaat surah ad-Dukhan dan surah Yasin, maka pada waktu pagi dia dalam keadaan terampun).

Al-Ashbihani pula meriwayatkan dengan lafaz:- "MAN QARA-A YAASIIN FI LAILATIL JUMU`ATI GHUFIRA LAHU" ( Sesiapa yang membaca surah Yasin pada malam Jumaat, nescaya diampunkan baginya).

*
Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sesiapa yang membaca surat Yasin pada malam hari, maka pagi harinya dia diampuni oleh Allah. Sesiapa yang membaca surat ad-Dukhan, maka dia diampuni oleh Allah." (HR Abu Ya'la). Menurut al-Hafidz Ibn Katsir, hadits ini sanadnya jayyid (shahih). Komentar Ibn Katsir ini juga dikutip dan diakui oleh al-Imam asy-Syaukani dalam tafsimya Fath al-Qadir, bahwa sanad hadits tersebut jayyid, alias shahih.

Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sesiapa yang membaca surat Yasin pada malam hari kerana mencari redha Allah, maka Allah akan mengampuninya." (HR. Ibn Hibban dalam Shahihnya). Hadits ini dishahihkan oleh al-Imam Ibn Hibban dan diakui oleh al-Hafidz Ibn Katsir dalam Tafsirnya, al- Hafidz Jalahiddin as-Suyuthi dalam Tadrib ar-Rawi, dan al-Imam asy-Syaukani dalam tafsir Fath al-Qadir dan al-Fawaid al-Majmu’ah.

Asy-Syaukani berkata dalam al-Fawaid al- Majmu’ah sebagai berikut: "Hadits, "Sesiapa membaca surat Yasin kerana mencari redha Allah, maka Allah akan mengampuninya, diriwayatkan oleh al-Baihaqi dari Abu Humairah secara marfu’ dan sanadnya sesuai dengan kriteria hadits shahih. Hadits tersebut juga diriwayatkan oleh Abu Nu'aim dan al-Khathib. Sehingga tidak ada alasan merryebut hadits tersebut dalam kitab-kitab al-Maudhu’at (tidak benar menganggapnya sebagai hadits maudhu’)." (Asy-Syaukani, al-Fawaid al-Majmu’ah fi al-Ahadits al-Maudhu’ah halaman 302-303).

Ibn Hibban dalam kitab sahihnya meriwayatkan hadith Jundab bin AbdiLLah, RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda yang bererti: "Surah al Baqarah adalah tulang belakang al Quran, ia diturunkan oleh lapan puluh malaikat dengan membawa satu persatu ayat. Sedangkan ayat kursi diturunkan dari bawah Arsy'. kemudian ia dikumpulkan dengan ayat-ayat surah al Baqarah. Surah Yasin pula adalah hati al Quran, tidak ada orang yang membacanya dengan mengharap redha Allah dan pahala akhirat melainkan dia akan mendapat ampunan dari-Nya. Bacalah surah Yasin untuk saudara-saudara kamu yang telah meninggal dunia." (Ditakhrij oleh Ibn Hibban di dalam Kitab Sahihnya pada bab Fadhilat Surah al Baqarah. Demikian juga al Haithami meriwayatkannya di dalam kitab Mawarid al Dzam'an, (jilid V, h 397).

Imam Ahmad juga meriwayatkannya di dalam al Musnad dari Ma'qal bin Yasar (jilid v h 26). Al Haithami mengulas hadith tersebut di dalam kitab Majma' al Zawaid, "Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di dalamnya ada salah seorang perawi yang tidak disebut namanya, bagaimanapun perawi perawi lainnya adalah sahih (jilid VI h 311)

Daripada Anas RadiyaLlahu 'anhu: Sabda Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam:  "Sesungguhnya bagi tiap-tiap sesuatu itu ada jantung (hati), dan jantung (hati) al Quran ialah surah Yasin. Dan sesiapa yang membaca surah Yasin, akan dituliskan Allah baginya dengan membacanya pahala seumpama membaca al Quran sepuluh kali." (HR. at-Tirmizi dan ad-Darimi)

Menurut Imam at Tirmizi darjat hadith ini adalah hasan gharib. Ia telah diriwayatkan oleh lima orang sahabat radiyaLlahu anhum iaitu Abu Bakar as Siddiq, Anas r.a, Abu Hurairah r.a, Ubay bin Kaab r.a dan Ibn Abbas radiyallahu anhuma. Maka dari segi istilah ia bilangan yang cukup menjadi hadith mahsyur. (Rujuk Majalah Q & A Bil 3, m/s 76-77. Dijelaskan oleh Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni (Jabatan Hadith KUIS))


Berkaitan dengan membaca al-Qur'an atau zikir secara berjamaah atau beramai-ramai, al-Imam asy-Syaukani telah menegaskan dalam kitabnya, al-Fath ar-Rabbai fi Fatawa al-Imam asy-Syaukani sebagai berikut: “Ini adalah himpunan ayat-ayat al-Qur'an ketika melihat pertanyaan ini. Dalam ayat-ayat tersebut tidak ada pembatasan zikir dengan cara mengeraskan atau memperlahankan, meninggikan atau merendahkan suara, bersama-sama atau sendirian. Jadi ayat-ayat tersebut memberi pengertian anjuran zikir dengan semua cara tersebut.” (Syaikh asy-Syaukani, Risalah al-Ijtima’ ‘ala adz-Dzikir wa al-Jahr bihi, dalam kitab beliau al-Fath ar-Rabbani min Fatawa al-Imam asy-Syaukani halaman no. 5945).

Pernyataan asy-Syaukani di atas, adalah pernyataan seorang ulama yang mengerti al-Qur'an, hadits dan metode pengambilan hukum dari al-Qur'an dan hadits. Berdasarkan pernyataan asy-Syaukani di atas, membaca al-Qur'an bersama-sama tidak ada masalah, bahkan dianjurkan sesuai dengan ayat-ayat al-Qur’an yang menganjurkan kita memperbanyak zikir kepada Allah.

Wallahu 'alam.

 



*


*




Artikel pilihan :

Kelebihan Surah Yasin

Hukum Membaca Yasin dan tahlil secara berjamaah

Adakah Bid'ah Hasanah ?



*

Sakit Jadi Ringan

*


Imam al-Muzani rahimahullah menceritakan bahawa pernah pada suatu ketika Sulthanul A-immah Muhammad bin Idris asy-Syafie RA sakit. Maka salah seorang daripada pembesar Mesir telah datang untuk ziarah beliau. Ketika bertemu dengan Imam asy-Syafie RA, pembesar berkata: "Wahai Abu Abdillah, sakit akan terasa ringan apabila ramai orang datang melawat." Lalu dijawab Imam as-Syafie RA dengan berkata: "Wahai saudaraku, sakit akan terasa ringan jika kita ingat akan ganjaran pahalanya daripada Allah dan kita menyakini bahawa ianya adalah satu kaffarah bagi dosa - dosa kita."

Sumber: http://bahrusshofa.blogspot.com/2013/04/sakit-jadi-ringan.html

*

Seburuk-buruk Sifat

*


"Seburuk-buruk sifat yang ada kepada seseorang adalah bakhil dan penakut." (HR Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 2150)

*

Kelebihan Tanah Haram Makkah

*
"Sesiapa yang menunaikan haji dari Makkah sambil berjalan kaki (yakni menuju ke Mina, Muzdalifah dan `Arafah) sehingga dia kembali ke Makkah, maka Allah SWT menulis baginya untuk setiap langkahnya 700 kebajikan dan setiap kebajikan itu adalah seumpama kebajikan-kebajikan yang dilakukan dalam Tanah Haram. Lalu baginda ditanya oleh sahabat, " Apakah kebajikan Tanah Haram itu (yakni apakah keistimewaan kebajikan Tanah Haram) ?" Baginda menjawabnya dengan bersabda: "Bagi setiap kebajikan itu diganda dengan 100,000 kebajikan." (HR. al-Hakim, al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

Wallahu a'lam.



Link pilihan:

Tanah Haram Makkah Dan Batasan-Batasannya

Keistimewaan Tanah Haram Makkah


Apa itu Tanah Haram dan Tanah Suci ?


Sebutan HIM dan HEM

*

Mari semak sebutan kita.

HIM (sebutan nipis).
HEM (sebutan tebal).

Encik Ibrahim - kebanyakkan masyarakat Malaysia akan menyebut Encik IbraHEM.

Encik Rahim - kebanyakkan masyarakat Malaysia akan menyebut Encik RaHEM.

Bismillahir rahma nir rahim - kebanyakkan masyarakat Malaysia akan menyebut Bismillahir rahma nir raHIM.

Di dalam surah al-Fatihah:

shiro tol lazi na 'an am ta 'alai HEM - SILAP.
shiro tol lazi na 'an am ta 'alai HIM - BETUL.

ghairil magh dhu bi 'alai HEM - SILAP.
ghairil magh dhu bi 'alai HIM - BETUL.

Di dalam tasyahhud / tahiyyat :

kamaa sollai ta'ala ibraHEM - SILAP.
kamaa sollai ta'ala ibraHIM - BETUL.

Mari betulkan sebutan kita.




*


Jari Telunjuk Masa Tahiyyat

*

Sejak dahulu lagi, para ulama telah berbeza pendapat mengenai ketika/waktu mengangkat jari telunjuk dan samada digoyang-goyangkan atau digerak-gerakkan jari telunjuk ketika bacaan tasyahhud/tahiyyat semasa solat.

Pendapat-pendapat yang masyhur ialah:
1. Mengangkat jari telunjuk dari awal bacaan tasyahhud tanpa digerak-gerakkan.
2. Mengangkat jari telunjuk dari awal bacaan tasyahhud serta digerak-gerakkan.
3. Mengangkat jari telunjuk ketika membaca kalimah syahadah, di tengah bacaan tasyahhud tanpa digerak-gerakkan.

Majoriti umat Islam di Malaysia yang bermazhab Syafi'i akan mengangkat jari telunjuk ketika membaca kalimah syahadah semasa bacaan tasyahhud dan tidak digoyang-goyangkan atau digerak-gerakkan jari telunjuk tersebut.

Imam an-Nawawi, seoarang ulama mazhab Syafi’iyah, mengatakan : “Dan mengangkat telunjuknya pada saat mengucapkan إلاالله (“illallah”) dan tidak menggerakkannya”. ( An-Nawawi, Minhaj al-“al-Thalibin, dicetak pada hamisy Qalyubi wa Umairah, Dar Ihya al-Kutub al-Arabiyah, Indonesia. Juz.I, Hal. 164)

Imam an-Nawawi menyatakan bahawa beliau berlapang dada dalam soal perbezaan pendapat bagi hal ini. Dan sama sekali tidak mencaci atau mentohmah di antara satu sama lain.

Wallahu 'alam.




Link pilihan:

Arah Pandangan Mata Ketika Solat


*













Lebih Baik Dari Kerajaan Nabi Sulaiman

*

Satu kisah yang diceritakan oleh Imam al-Qalyubi rahimahullah dalam karya beliau "an-Nawaadir" pada kisah yang ke-194 di halaman 174, bahawa satu ketika Nabi Sulaiman bin Daud `alaihimas salam lalu dengan tunggangannya di hadapan seorang penggembala kambing. Maka terluncurlah daripada mulut si penggembala akan kata-kata: "Raja Sulaiman telah dianugerahkan dengan kerajaan yang besar." Kata-kata si penggembala tadi dibawa angin ke telinga Nabi Sulaiman, maka turunlah baginda daripada tunggangannya lalu baginda datang kepada si penggembala itu. Baginda bersabda kepada si penggembala: "Wahai penggembala, sesungguhnya satu ucapan tasbih dalam lembaran amal seseorang hamba itu lebih afdhal di sisi Allah daripada kerajaan Sulaiman, kerana kerajaan itu bakal binasa sedangkan ucapan tasbih tersebut akan kekal bagi si pembacanya dan akan bermanfaat baginya pada hari kiamat nanti."


Sumber: http://bahrusshofa.blogspot.sg/2012/02/lebih-baik-dari-kerajaan.html

*

Orang Yang Kaya

*

4 perkara jika kamu pelihara sebaiknya maka kamu adalah orang yang kaya walaupun banyak kemegahan dunia tidak kamu miliki iaitu:
1. memelihara amanah,
2. berkata jujur,
3. baik akhlak,
4. dapat mengawal diri daripada makan terlalu lahap.
(HR Ahmad dan Tabrani)

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Kaya itu bukanlah lantaran banyak harta, tetapi kaya adalah kaya jiwa (hati)." (HR Muslim)



Wallahu a'lam.




Link pilihan:

Orang Yang Berjaya





*

Selamat Hari Raya

*

Tazkirah Hari Raya.

Mendoakan agar amalan kita di bulan Ramadhan diterima Allah.
Al-Imam Al-Hafidz Ibnu Hajar Al-Asqalani رحمه الله berkata: ” Saya meriwayatkan hadis ini dengan sanad yang hasan dari Jubair bin Nafir, dia berkata:
كَانَ أَصْحَابُ رَسُولُ اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم إِذَا الْتَقُوْا يَوْمَ الْعِيْدِ يَقُوْلُ بَعْضَهُمْ لِبَعْضٍ:تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكَ
“Para  sahabat Rasulullah صلي الله عليه وسلم  apabila bertemu pada hari raya, mereka mengatakan kepada yang lain: TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKA (Moga ALLAH terima amalan kami dan amalan kamu)". (Fathul Bari, 2: 446)

Menghidupkan Malam Hari Raya
“Sesiapa menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya korban, nescaya hatinya tidak mati pada hari hati-hati lain mati”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a.)
Hadis ini menurut Imam Nawawi dalam al-Majmu’; sanadnya adalah dhaif. Namun menurut ulamak, hadis dhaif harus diamalkan dalam fadhilat amalan. (Mughni al-Muhtaj, jil. 1, hlm. 426).

Perempuan juga digalakan menghadiri perhimpunan solat hari raya. Jika tidak boleh solat, dapat dengar khutbah.
Diriwayatkan dari Ummu 'Atiyah ra. ia berkata : Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam memerintahkan kami keluar pada 'idil fitri dan 'idil adha, semua gadis-gadis, wanita-wanita yang haid, wanita-wanita yang tinggal dalam kamarnya. Ada pun wanita yang sedang haid mengasingkan diri dari tempat solat, mereka menyaksikan kebaikan dan mendengarkan khutbah. Saya berkata : Ya Rasulullah bagaimana dengan kami yang tidak mempunyai jilbab? Beliau bersabda : Pinjamlah daripada saudara mara kamu. ( H.R : Jama'ah)

Makan dahulu sebelum pergi solat 'idil Fitri.
Diriwayatkan dari Buraidah ra. ia berkata : Adalah Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam keluar untuk solat 'idil fitri selepas makan terlebih dahulu dan tidak makan pada 'ldil adha sehingga beliau kembali dari solat hari raya. ( H.R : Ibnu Majah, At-Tirmidzi dan Ahmad)

Tidak melalui jalan yang sama waktu pergi dan balik solat hari raya.
Diriwayatkan dari Jaabir ra. ia berkata : Adalah Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam apabila keluar untuk solat hari raya ke mushalla, beliau menyelisihkan jalan ( yakni waktu pergi melalui satu jalan dan waktu balik melalui jalan yang lain ). (H.R : Bukhari )

Bertakbir
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bertakbir pada 'idil fitri bermula dari keluar dari rumah sehingga sampai di tempat solat hari raya. (HR Baihaqi)


Allahu Akbar.. Allahu Akbar.. Allahu Akbar.. Walillah hilham.

Taqab balallahu minna wa minkum.


Salam 'idil Fitri dari Lenggang Kangkung sekeluarga.

 
Maaf Zahir dan batin.

*

Khuatir Amalan Tidak Diterima

*

Para ulama salaf terdahulu sangat bersemangat untuk menyempurnakan amalan mereka, kemudian mereka berharap agar amalan tersebut diterima oleh Allah dan sangat khuatir jika tertolak.

Ibnu Diinar mengatakan, “Tidak diterimanya amalan, lebih ku khuatirkan daripada banyak beramal.”

Abdul Aziz bin Abi Rawwad berkata, “Saya menemukan para salaf begitu semangat untuk melakukan amalan solih. Apabila telah melakukannya, mereka merasa khuatir apakah amalan mereka diterima atau tidak.”

‘Umar bin ‘Abdul Aziz berkata semasa beliau berkhutbah pada hari raya Idul Fitri, “Wahai sekalian manusia, kalian telah berpuasa selama 30 hari. Kalian pun telah melaksanakan solat tarawih setiap malamnya. Kalian pun keluar dan memohon pada Allah agar amalan kalian diterima. Namun sebagian salaf malah bersedih ketika hari raya Idul Fitri. Dikatakan kepada mereka, “Sesungguhnya hari ini adalah hari penuh kebahagiaan.” Mereka malah mengatakan, “Kalian benar. Akan tetapi aku adalah seorang hamba. Aku telah diperintahkan oleh Rabbku untuk beramal, namun aku tidak mengetahui apakah amalan tersebut diterima atau pun tidak.” (Lathaif Al Ma’arif, 368-369).

 Ada yang mengatakan para salaf biasa memohon kepada Allah selama enam bulan agar dapat berjumpa dengan bulan Ramadhan. Baki lagi enam bulan, mereka memohon kepada Allah agar amalan mereka diterima.

Wallahu a'lam.

Taqobbalallahu minna wa minkum. (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kalian)




Link pilihan:

Khauf dan Raja' (Harap-harap cemas)



*



Cara Hadapi Godaan Nafsu Dan Syaitan

*

Diceritakan bahawa ada seorang murid yang telah tamat pengajian dengan seorang guru. Maka sebelum dia berangkat pulang ke kampung halaman, si murid meminta tawsiyah (nasihat) dari gurunya tentang bagaimana cara menghadapi godaan nafsu & syaitan.

Si guru berfikir kemudian menjawab dengan memberikan sebuah perumpamaan. Dia menjawab soalan muridnya itu dengan melontarkan soalan: "Anakku, cuba bayangkan jika engkau diundang untuk bertamu di rumah seseorang. Ketika engkau tiba di depan pintu rumahnya, kau mendapati ada seekor anjing sedang menghalang engkau dari memasuki rumah itu. Katakan kepadaku apa yang akan engkau perbuat dengan anjing itu pada ketika itu?"

Jawab si murid: "Akan aku ambil batu dan lempar ke arah anjing itu agar aku mengusirnya".

Tanya gurunya lagi: "Tapi jika setelah itu, dia datang lagi di hadapan pintu itu?" "Akan aku lempar lagi dengan batu yang kedua" jawabnya. Dan setiap kali gurunya bertanya soalan itu, dia memberikan jawapan yang sama.

Maka sang guru pun berkata: "Kalau begitu, engkau akan menghabiskan masa dengan melempar batu dan anjing itu akan tetap kembali lagi. Engkau akan tertinggal jamuan yang engkau diundang kepadanya oleh si tuan rumah." Dengan kehairanan, muridnya pun bertanya: "Kalau begitu, bagaimana yang harus aku lakukan pada menurutmu, wahai guruku?"

Dengan tenang si guru memberikan suatu penyelesaian yang tidak terfikir oleh si murid tadi: "Bukankah anjing itu kepunyaan tuannya? Kenapa tidak engkau memanggil si tuan rumah untuk mengusir anjingnya itu. Si anjing pasti akan segera patuh kepada perintah tuannya tanpa perlu engkau bersusah payah mengusirnya dengan daya usahamu".

Si murid termenung sejenak memikirkan jawapan gurunya. Gurunya menerangkan: "Begitulah hendaknya engkau ketika berhadapan dengan godaan nafsu dan syaitan. Nafsu & syaitan itu adalah ibarat anjing tadi. Ketika engkau sudah diundang untuk bertaubat kepada Allah, engkau akan mendapatkan anjing syaitan dan nafsumu di depan pintu rahmat Tuhanmu. Janganlah kau menghabiskan segenap tenaga untuk mengusir godaan-godaan itu. 

Mohonlah kepada Allah Yang Maha Menciptakan syaitan dan nafsumu itu agar diusir mereka, dan engkau akan dengan mudah dapat memasuki ke pintu rahmat dan keampunan Allah dengan pertolongan Allah سبحانه وتعالى

Itulah jawapanku bagi soalanmu tadi." Terima kasih, Guru!

Cerita di atas ini dipetik dari pengajian ringkasan Kitab Ihya' yang disampaikan oleh Tuan Guru kami, Al-Habib Umar Bin Hafiz (semoga kami mendapat manfaat dengan ilmunya)

Benarlah ungkapan para Ulama:
لولا المربي ما عرفت ربي
Lau-lal mu-rab-bi ma 'a-raf-tu Rab-bi

Kalau tidak kerana guru yang mendidikku, nescaya tidak akan aku kenal Tuhanku!

Dicopy dari: http://www.facebook.com/photo.php?fbid=10151731449441999

*

Iktikaf

*

Daripada Aisyah R.A (Isteri Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam) bahawa Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selalu beriktikaf pada sepuluh akhir daripada bulan Ramadhan hingga diwafatkannya oleh Allah, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepasnya oleh para isterinya. (Muttafaq 'Alaih).

Daripada Abi Hurairah R.A, ia berkata : Adalah Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selalu beriktikaf pada tiap-tiap Ramadhan sepuluh hari terakhir. Manakala pada tahun baginda diwafatkan, baginda beriktikaf dua puluh hari. (Sahih Bukhari)

Dengan itu, nyatalah bahawa iktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan adalah sunnah yang diamalkan secara berkekalan oleh Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan para isterinya, juga oleh para sahabatnya.

Telah bersepakat di antara imam-imam mazhab yang empat bahawa hukum iktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan adalah sunat Muakkadah, kerana mengikut sunnah Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam dan menuntuti Lailatul Qadar. (Syarah Sohih Muslim li An-Nawawi 8/67, Fathul Bari li Ibni Hajar As-Asqolani 4/272).

Manakala hukum iktikaf pada lain daripada sepuluh akhir Ramadhan adalah sunat (istihbab).

"Dan sesiapa yang iktikaf satu hari kerana mencari keredhaan Allah, nescaya Allah jadikan di antaranya dan di antara api neraka, tiga buah parit, di mana jarak di antara tiap-tiap satu parit lebih jauh daripada jarak antara dua mata angin". (HR. At-Tabrani dan Al-Hakim)

Wallahu a'lam.



Link pilihan:

Panduan Iktikaf

Pedoman Iktikaf

Kelebihan Malam Lailatul-Qadar 
 
Kelebihan Pergi Masjid 


*

Jom pergi masjid

*

Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda, “Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan di dalam kegelapan malam menuju masjid dengan cahaya yang akan diperolehnya pada hari kiamat.” (HR. Abu Daud)

“Sesiapa yang pergi menuju masjid untuk solat maka satu langkah akan menghapuskan satu kesalahan dan satu langkah lainnya akan ditulis sebagai satu kebajikan untuknya, baik ketika pergi mau pun pulang.” (HR. Ahmad)

Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: “Sesiapa bersuci di rumahnya lalu pergi ke masjid untuk menunaikan solat yang telah Allah wajibkan kepadanya, maka setiap langkahnya menghapus satu dosa dan langkah yang satunya mengangkat satu tingkat derajatnya.” (HR. Muslim)

Wallahu a'lam.





Link pilihan:


Hukum Solat Berjama'ah

Kelebihan Solat di Masjid 

Iktikaf  



*

Mengapa Tidak Terus Minum Daripada Kendinya ?

*
Tertarik dengan satu risalah yang saya terima daripada seorang rakan. Risalah tersebut menceritakan sebuah kisah berkenaan pertemuan seorang pemuda yang mengaku bahawa dia adalah pengikut ajaran Salaf dengan seorang Kiyai @ Tuan Guru di sebuah pesantren di Indonesia.

Apa yang menarik tentang kisah ini ialah bagaimana sikap seorang guru ketika memberi didikan kepada seorang yang datang menempelak dan mencemuhnya. Sabar, setia mendengar setiap yang diluahkan dan pelbagai sikap yang baik yang patut diteladani oleh para pendakwah sekarang daripada Kiyai tersebut. Inilah manhaj sebenar Ahlussunnah Wal Jamaah . Tidak melenting malah memberikan peluang kepada mereka untuk berbicara.

Sikap pemuda yang mengaku mengikut ajaran Salaf ini juga patut diteladani dalam satu aspek iaitu mendengar kembali apa yang diterangkan oleh Kiyai tersebut dan mengakui bahawa dirinya ada melakukan kesalahan. Berbeza dengan sikap pemuda-pemuda sekarang yang mengaku bahawa mereka adalah pengikut ajaran Salaf , yang langsung tidak mahu menerima pandangan orang lain malah menuduh bahawa para ulama sekarang banyak membawa Bid’ah dan sebagainya.

Di sini saya akan mengolah semula cerita tersebut sebagai panduan kepada kita semua. Kisahnya begini :

Suatu hari, datang seorang pemuda ke sebuah Pesantren di Indonesia bertujuan untuk bertemu dengan Kiyai di Pesantren tersebut. Maka berlakulah dialog di antara pemuda dan Kiyai di ruang tamu rumah Kiyai itu.

Pak Kiyai : Silalah duduk anak muda, siapa namamu dan dari mana asalmu?

Pemuda : Terima kasih Pak Kiyai. Nama saya Abdullah dan saya berasal dari Kampung Seberang.

Pak Kiyai : Jauh kamu bertandang ke sini, sudah tentu kamu punya hajat yang sangat besar. Apa hajatnya mana tahu mungkin saya boleh menolongmu?

Pemuda tersebut diam sebentar sambil menarik nafasnya dalam-dalam.

Pemuda : Begini Pak Kiyai, saya datang ke sini, bertujuan ingin berbincang beberapa permasalahan dengan Pak Kiyai. Pendeknya, permasalahan umat Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Kiyai-Kiyai di kebanyakan pesantren di Indonesia, dan Tuan-Tuan Guru di Malaysia serta Pattani dan Asia umumnya sering kali mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil kalam-kalam atau pandangan para ulama? Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut : “ Kata al-Imam al-Syafiee, kata al-Imam Ibn Ato’illah al-Sakandari, Kata al-Imam Syaikhul Islam Zakaria al-Ansori dan lain-lain”

Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ? Bukankah lebih enak kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan “ Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis itu dan ini?”

Ulama-ulama itu juga punya kesalahan dan kekurangan. Maka mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Maka sebaiknya kita mengambil terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Pak Kiyai mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah memberikan peluang bagi pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya. Sambil senyuman terukir di bibir Pak Kiyai, beliau bertanya kepada pemuda tersebut,

Pak Kiyai : Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan wahai Abdullah?

Pemuda : Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dahulu ya. Tiga perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu , wanita yang dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan Abdullah?

Pemuda : Benar sekali Pak Kiyai .

Pak Kiyai lalu memanggil isterinya bagi menyediakan minuman pada mereka berdua. Maka beberapa detik selepas itu minuman pun sampai di hadapan mereka.

Pak Kiyai : Silakan minum Abdullah.

Sebaik dipelawa oleh Pak Kiyai, maka Abdullah pun terus mengambil bekas air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.

Pak Kiyai terus bertanya : Abdullah, kenapa kamu tidak terus minum daripada bekasnya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?

Pemuda : Pak Kiyai, mana bisa saya minum terus daripada bekasnya. Bekasnya besar sekali. Maka saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya.

Pak Kiyai : Abdullah, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya. Maka kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam cawan para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan memanfaatkannya.

Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Cuma persoalan kembali ingin saya lontarkan kepada kamu. Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah mereka mengambil daripada kitab Talmud atau Bible?

Pemuda : Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Pak Kiyai : Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.

Pak Kiyai : Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?

Pemuda : Sudah tentu Pak Kiyai.

Pak Kiyai : Baik, Kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita bacakan. Maka persoalannya , pemahaman siapa yang ingin didahulukan? Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat tersebut?

Pemuda : Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami bahasa berbanding orang zaman sekarang.

*
Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada seorang pun yang mengambil selain daripada keduanya. Cuma bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang lebih dalam ilmu dan lebih faham mengenainya. Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika mengeluarkan ilmu.

Imam al-Syafie radhiyallahu anhu pernah ditanya oleh seseorang ketika mana beliau sedang menaiki keldai, berapakah kaki keldai yang Imam tunggangi? Maka Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira kaki keldai tersebut. Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam menjawab : “Kaki keldai yang aku tunggangi ada empat”. Orang yang bertanya tersebut merasa hairan lalu berkata “ Wahai Imam , bukankah kaki keldai itu sememangnya empat, mengapa engkau tidak terus menjawabnya?” al-Imam al-Syafiee menjawab : “Aku bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah di dalam memberikan jawapan”. Betapa wara’nya al-Imam al-Syafie ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan agama?

Al-Imam Malik radhiyallahu anhu pernah didatangi oleh seorang pemuda di dalam majlis ilmunya di Madinah al-Munawwarah. Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah. Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di tempatnya. Al-Imam Malik radhiyallahu anhu, mengatakan bahawa “Maaf, aku tidak pandai untuk menyelesaikannya”. Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya : “Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?” Maka kata al-Imam Malik : “Katakan kepada mereka bahawa Malik juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”. Betapa amanahnya mereka dengan ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui segalanya.



Sumber: http://nazrulnasir.blogspot.com/2011/01/mengapa-tidak-terus-minum-daripada.html


Link Pilihan :




*

Bolehkah solat sunat setelah witir ?

*

Dianjurkan untuk menjadikan solat witir sebagai penutup solat malam. Berdasarkan hadis dari Abdullah bin Umar radhiyallahu ‘anhuma, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Akhiri solat kalian pada malam hari dengan solat witir.” (HR. Bukhari 998 dan Muslim 749).

Namun beberapa ulama mengatakan bahwa hadis di atas tidak melarang untuk solat sunat lain setelah solat witir.


Ibnu Hazm mengatakan,“Witir dilakukan di akhir malam, lebih afdhal, dan jika dilakukan di awal malam, itu baik. Boleh solat lain setelah witir dan tidak boleh mengulangi witir dua kali.” (Al-Muhalla, 2/91)

An-Nawawi menjelaskan, “Apabila ada orang yang telah mengerjakan witir (di awal malam) dan dia hendak solat sunat di akhir malam, hukumnya boleh dan tidak makruh. Dan dia tidak perlu mengulangi witirnya. Dalilnya adalah hadis Aisyah radhiyallahu ‘anhu, ketika beliau ditanya tentang witir yang dikerjakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam…” – kemudian An-Nawawi menyebutkan hadis Aisyah di atas. (Al-Majmu’, 4/16).


Bagi yang hendak mengerjakan solat sunat lain setelah witir, dia tidak boleh melakukan witir lagi setelah solat sunat itu. Berdasarkan hadis dari Thalq bin Ali radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tidak boleh melakukan 2 kali witir dalam satu malam.” (HR. Ahmad 16296, Nasai 1679, Abu Daud 1439).

Allahu a’lam


Sumber:
http://kitab-kuneng.blogspot.com/2013/07/bolehkah-shalat-sunat-lagi-setelah-witir.html
http://www.konsultasisyariah.com/bolehkah-shalat-sunah-setelah-witir




Artikel pilihan:

Kelebihan Solat Witir

Kelebihan Solat Tahajjud



*

Solat Fajar

*

Solat sunat dua rakaat sebelum solat fardhu Subuh dikenali sebagai Solat Fajar atau Solat Qabliyah Subuh atau Solat Sunat Subuh.

Ia dikerjakan selepas azan Subuh dan sebelum solat fardhu Subuh.

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Solat fajar 2 rakaat lebih baik dari dunia dan segala isinya.” (HR. Muslim)

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Dua rakaat solat fajar lebih aku cintai daripada dunia seluruhnya.” (HR. Muslim)

Dari Aisyah ra. bahawa beliau berkata, "Tiada solat sunat yang paling Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam menjaganya, melebihi dua rakaat solat fajar.” (HR. Muslim)

“Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam membaca ketika solat fajar, surah Al-Kafirun dan surah Al-Ikhlas.” (HR. Muslim)


Niat solat :

اُصَلِّى سُنَّةَ الفَجْرِ رَكْعَتَيْنِ ِللهِ تَعَالىَ

Sahaja aku solat sunat fajar dua raka`at kerana Allah Ta`ala



-- atau -- yang ini pun boleh --


اُصَلِّى سُنَّةَ الصُبْحِ رَكْعَتَيْنِ قَبْلِيَّةً ِللهِ تَعَالىَ

Sahaja aku solat sunat sebelum subuh dua raka`at kerana Allah Ta`ala



Wallahu a'lam.




Link pilihan:

Apakah perbezaan antara solat sunat fajar dan solat sunat sebelum subuh ?

Adakah solat sunat rawatib qabliyah subuh sama dengan solat fajar ?





*

Hukum meninggalkan puasa Ramadhan

*

Menurut Mazhab Syafie, sesiapa tidak berpuasa Ramadan tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan, dia adalah fasiq dan berdosa besar. Dia wajib mengqadhanya sebanyak hari yang ditinggalnya.

Namun mengqadha sahaja tidak memadai kerana Nabi shollallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Sesiapa yang berbuka puasa dengan sengaja di bulan Ramadhan tanpa kelonggaran (yang diberikan Allah) dan bukan kerana sakit, puasa sepanjang masa pun tidak akan mampu menggantikan (puasa yang ditinggalkan itu) walaupun dia melakukannya” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.).

Oleh itu, qadha itu wajib diiringi dengan taubat nasuha iaitu menghadirkan penyesalan kerana keterlanjuran meninggalkan kewajipan syarak dan berazam tidak akan mengulangi lagi buat selamanya.

Sumber: http://fiqh-am.blogspot.com/2008/07/puasa-hukum.html

Wallahu a'lam.





Link pilihan:

Marhaban Ya Ramadhan


Kelebihan Puasa

Kelebihan Solat Tarawih

Kelebihan Lailatul Qadar

Kelebihan Sedekah di Bulan Ramadan

Zakat Fitrah


*

Niat Puasa Ramadan

*


Niat adalah salah satu rukun puasa.

Jika sesorang itu terlupa untuk berniat puasa, maka puasanya TIDAK SAH.

Jika seseorang itu lupa berniat puasa, maka wajib ke atasnya imsak iaitu menahan diri daripada makan, minum dan lain-lain perkara yang membatalkan puasa serta wajib ke atasnya mengqadha puasa tersebut.

Niat ialah lintasan atau ucapan di dalam hati.  Tidak sah niat jika diucapkan melalui mulut tetapi hatinya kosong. Niat boleh menggunakan apa-apa bahasa dan tidak semestinya bahasa Arab.

Jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie) berpendapat niat puasa mesti dilakukan pada tiap-tiap malam.

Niatnya ialah : Sahaja aku puasa pada esok hari dalam bulan Ramadan tahun ini kerana Allah Taala.

Mazhab Imam Malik berpendapat boleh berniat puasa untuk sebulan sekaligus iaitu pada malam pertama Ramadan. Berniat satu bulan penuh hendaklah dilakukan pada malam pertama puasa sahaja. Tidak dikira niat sebulan penuh itu jika ia dilakukan pada malam berikutnya seperti berniat pada hari kedua puasa.

Niatnya ialah : Sahaja aku puasa sebulan dalam bulan Ramadan tahun ini kerana Allah Taala. 

Menurut mazhab Syafi’ie, dibolehkan bertaklid kepada mazhab Maliki yang mengharuskan berniat sebulan sekaligus pada awal bulan. Tetapi niat harian masih MESTI dilakukan pada tiap-tiap malam walaupun sudah berniat sebulan. Ia hanya sebagai langkah berhati-hati jika ditakdirkan terlupa niat pada mana-mana malam dari Ramadhan. Dengan adanya niat sebulan itu, dapatlah dielakkan dari terbatal puasa kerana terlupa.

Kesimpulannya, menurut mazhab Syafi’ie, niat puasa MESTI dilakukan pada setiap malam. Ada pun niat puasa sebulan itu hanyalah sebagai langkah berhati-hati.



Wallahu a'lam.

Sumber:

http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Agama/NewDisplayForm.aspx?ID=229&ContentTypeId=0x0100F6D57A3EFF61B0428F673FEADAB5CF1E

http://fiqh-am.blogspot.com/2008/07/puasa-niat.html



Link pilihan:

Rukun Puasa Ramadan





Ahlus Sunnah Wal Jama'ah

*

وَالَّذِىْ نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ, لَتَفْتَرِقُ اُمَّتِى عَلىَ ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً. فَوَاحِدَةً فى الْجَنَّةُ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِى النَّارِ. قِيْلَ: مَنْ هُمْ يَارَسُوْلُ اللهِ؟ قَالَ: اَهْلُ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ
(رواه الطبرانى)

Rasulullah SAW bersumpah: "Demi zat yang menguasai jiwa Muhammad, sungguh umatku bakal terpecah menjadi 73 golongan. Maka yang satu golongan masuk syurga, sedangkan yang 72 golongan masuk neraka. Sahabat bertanya: Siapakah golongan (yang masuk Syurga) itu ya Rasulullah? Baginda menjawab: Ahlus sunnah Wal jamaah” (HR. al-Tabrani)

Ulasan Ishaq ibn Rahawaih, seorang ulama Salaf yang terkemuka: “Al-Jama’ah itu adalah para ulama yang berpegang pada atsar Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam dan jalannya. Sesiapa bersama mereka dan mengikuti mereka, maka merekalah Al-Jama’ah”. (Hilyatul-Auliyaa’ (9/239).

Imam Asy Syathibi menyimpulkan:
قال الشاطبي : ” وحاصله أن الجماعة راجعة إلى الاجتماع على الإمام الموافق لكتاب الله والسنة ، وذلك ظاهر في أن الاجتماع على غير سنة خارج عن الجماعة المذكورة في الأحاديث المذكورة ؛
Kesimpulannya, Al Jama’ah adalah bersatunya umat pada imam yang sesuai dengan Kitabullah dan Sunnah.” (Al I’tisham 2/260-265, dinukil dari Fatwa Lajnah Ad Daimah 76/276)

Al-Jama’ah atau Ahlus Sunnah Waljamaah adalah para ulama yang benar dan orang yang bersama dan mengikuti mereka.

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah dalam Kitab Fathul Bari XII/37 menukil perkataan Imam Thabari rahimahullah yang menyatakan: “Berkata para ulama, bahwa Al-Jama’ah atau Ahlus Sunnah Waljamaah adalah As-sawadul a’zham (majoriti)".

As-sawadul a’zham adalah "majoriti ulama dan orang yang bersama mereka".

Asya`irah dan Al-Maturidiyyah telah diikuti oleh "majoriti ulama dan orang yang bersama mereka"

*
Berkata As-Sheikh Muhammad Amin yang terkenal dengan gelaran Ibnu Abidin di dalam kitab terkenal beliau yang berjudul Rad Al-Muhtar `Ala Ad-Duraril Mukhtar: "Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah Asya`irah (pengikut Abu al-Hasan Al-Asya`ri) dan Al-Maturidiyyah (pengikut Abu Mansur Al-Maturidi)". Perkara yang sama juga disebut oleh al-Hafiz Murtadha az-Zabidi di dalam kitab Ithaf as-Sadah al-Muttaqin.

Al-Syeikh Prof Dr. Ali Juma`ah, mufti Mesir, menjelaskan tentang mazhab Ahlus Sunnah Wal Jama`ah di dalam kitabnya al-Bayan lima Yashghul al-Azham, mengatakan: "Mazhab Ahlus Sunnah Wal Jama`ah – al-Asya`irah dan al-Maturidiyyah- adalah mazhab yang jelas pada keseluruhan bab-bab tauhid, namun banyak orang-orang yang mengingkarinya ialah orang-orang yang jahil terhadap mazhab tersebut yang sebenar pada masalah iman kepada Allah."

*
Kebenaran al-Asya`irah Dan Al-Maturidiyyah Disokong Oleh Al-Quran Dan Hadith

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَلاَ يَخَافُونَ لَوْمَةَ لآئِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ) المائدة :54

Mafhumnya : "Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa yang murtad daripada agamanya (Islam) maka Allah akan mendatangkan satu kaum yang mana Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah, yang bersikap lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan bersikap tegas terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah maha luas pemberiannya lagi Maha Mengetahui". ( Al-Maidah:54 ).

Al-Hafiz Ibn `Asakir di dalam kitabnya (تبيين الكذب المفتري) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak meriwayatkan bahawasanya tatkala turun ayat ini, Rasulullah mengisyaratkan kepada Abu Musa Al-Asy`ari dengan bersabda:
هم قوم هذا
Mafhumnya : "Mereka (yang dimaksudkan di dalam ayat tadi ) adalah kaum ini". Berkata Imam al-Qusyairi :

"Pengikut Abu al-Hasan al-Asy`ari adalah termasuk kaumnya kerana setiap tempat yang disandarkan perkataan kaum oleh nabi ia membawa maksud pengikut. Perkara ini disebut oleh Imam al-Qurtubiy di dalam kitab tafsirnya.(rujuk kitab tersebut jilid 6 halaman 220).

Berkata al-Hafiz al-Baihaqi :
"Perkara ini adalah kerana wujudnya kelebihan yang mulia dan martabat yang tinggi bagi imam Abu al-Hasan al-Asy`ari semoga Allah meredhainya. Dia adalah daripada kaum Abu Musa dan anak-anaknya dianugerahkan ilmu pengetahuan, diberikan kefahaman secara khusus dikalangan mereka dengan menguatkan sunnah, membasmi bid`ah dengan mengeluarkan hujah dan membantah penyelewengan. Perkara ini disebut oleh al-Hafiz Ibn `Asakir di dalam kitab (تبيين الكذب المفتري).

Imam Bukhari, seorang yang berstatus amir al-mukminin dalam bidang hadith menyebutkan di dalam sahihnya pada bab ((باب قدوم الأشعريين وأهل اليمن)). Baginda bersabda kepada Abu Musa :
هم مني وأنا منهم
Mafhumnya : "mereka sebahagian daripadaku, aku pula sebahagian daripada mereka".

*
Senarai Ulama Yang Berpegang Dengan aliran Asya`irah

Menurut ulama al-muhaqqiqun majoriti umat Islam bermula daripada salaf dan khalaf sama ada dalam apa jua bidang pun, baik akidah, fiqh, al-Quran, tafsir, hadith, tasauf, bahasa arab, nahu, sorof, adab dan lain-lainnya kesemuanya dalam hal keyakinan dan akidah selari dengan akidah al-Asya`irah dan al-Maturidiyah.

Di antara golongan al-huffaz yang merupakan pemuka para muhaddithin dan berpegang dengan akidah ini :

1. Al-Hafidz Abu Bakar Al-Ismaily, tuan punya kitab (المستخرخ على البخاري). Beliau merupakan seorang pakar hadith yang paling masyhur pada zamannya.
2. Al-Hafiz al-`Alim Abu Bakar Al-Baihaqi, juga seorang pakar hadith yang paling masyhur pada zamannya.
3. Al-Hafiz yang disifatkan sebagai sebaik-baik muhaddithin di Negara Syam pada zamannya iaitu al-Hafiz Ibn `Asakir.
4. Amir al-Mukminin dalam bidang hadith, Ahmad Ibn Hajar al-`Asqalani.

Ramai ulama muktabar yang mengikut manhaj ini :

1. Imam Abu Hassan al-Baahili
2. Abu Bakar ibn Furak
3. Abu Bakar al-Baqillani
4. Abu Ishaq al-Isfarayiini
5. Al-Hafiz Abu Nu`aim al-Asbahani
6. Qadhi Abdul Wahab al-Maliki
7. As-Syeikh Abu Muhammad al-Juwaini serta anaknya Abu al-Ma`ali. Kedua-duanya dikenali sebagai Imam al-Haramain.
8. Abu Mansur at-Tamimi al-Baghdadi.
9. Al-Hafiz ad-Darulquthni.
10. Al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi.
11. Al-Ustaz Abu Al-Qasim al-Qusyairi serta anaknya Abu Nasr.
12. Asy-Syeikh Abu Ishaq as-Syirozi,
13. Nasru al-Maqdisi
14. Al-Farawi
15. Abu al-Wafa` bin `Aqil al-Hanbali
16. Qadhi ad-Daamighani al-Hanafi
17. Abu-al-Walid al-Baaji al-Maliki
18. Al-Imam as-Sayid Ahmad ar-Rifa`ie
19. Al-Hafiz Abu Qasim Ibnu `Asakir
20. Ibnu as-Sam`ani
21. Al-Qadhi `Iyadh al-Maliki
22. Al-Hafiz as-Salafi
23. Al-Hafiz an-Nawawi
24. Imam Fakhruddin ar-Razi
25. `Izzuddin bin Abdussalam
26. Abu Amru bin al-hajib al-Maliki
27. Al-Hafiz Ibn Daqiq al-`ed
28. `Ala ad-Deen al-Baaji
29. Al-Hafiz al-Mujtahid Qadi al-Qudhat al-Imam Taqiyuddin As-Subki dan anaknya Tajudeen al-Subki.
30. Al-Hafiz al-`Alai
31. Al-Hafiz Zainuddin al-`iraqi serta anaknya al-Hafiz Waliyuddin al-Iraqi
32. Al-Hafidz al-Lughawi Murtadha Az-Zabidi al-Hanafi
33. As-Syeikh Zakaria al-Ansari
34. As-Syeikh Bahauddin Ar-Rawwasi As-Sufi
35. Mufti Mekah Ahmad Bin Zaini Dahlan
36. Musnid al-Hindi Waliullah ad-Dahlawi
37. Mufti Mesir As-Syeikh Muhammad `illaish Al-Maliki
38. Sheikh Jamik Al-Azhar Abdullah As-Syarqawi,
39. Seorang ulama sanad hadith yang terkenal ; As-Syeikh Abu Al-Mahasin Al-Qawuqji,
40. As-Syeikh al-Husain al-Jisr at-Tarabulusi
41. As-Syeikh `Abdul Latif Fathul Allah, mufti Beirut
42. As-Syeikh `Abdul Baasith al-Fakhuri, mufti Beirut
43. As-Syeikh al-Muhaddith Muhammad Bin Darwish al-Hut al-Beiruti dan anaknya `Abdul Rahman, Ketua al-Asyraf di Beirut.
44. As-Syeikh Mushthofa Naja, Mufti Beirut
45. Al-Qadhi yang dihormati ibn Farhun al-Maliki
46. Abu Fath as-Syahristani
47. Al-Imam Abu Bakar Asy-Syasyi al-Qaffal
48. Abu `Ali Ad-Daqqaq An-Naisaburi
49. Al-Hakim An-Naisaburi, Tuan punya kitab Mustadrak.
50. As-Syeikh Abu Manshur al-Hudhudi,
51. As-Syeikh Abu `Abdullah as-Sanusi,
52. As-Syeikh Muhammmad bin `Alan as-Shadiqi as-Syafi`e.
53. Al-`Allamah `Alawi bin Tahir al-Hadhrami al-Haddad.
54. Al-`Allamah al-Muhaqqiq al-Habib bin Husain bin `Abdullah Balfaqih, dan semua ulama Hadramaut dari keturunan `Alawi, al-Saqqaf, al-Juneid, dan al-`Idrus.
55. Al-Hafiz al-Faqih al-Allamah al-Arif Billah al-Syiekh Abdullah al-Harari al-Habasyi.
56. Sheikh Sirojiddin Abbas Al-Indunisi
57. Musnid Syeikh Yasin al-Fadani
58. Dan ramai lagi..

*
Ulama telah membuat ketetapan bahawa golongan al-Asya`irah dan al-Maturidiyyah ialah yang dikatakan sebagai Al-Jama'ah atau Ahlus Sunnah Wal Jama`ah atau As-sawadul a’zham atau "golongan yang bersama dan mengikuti para ulama yang berpegang pada atsar Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam dan jalannya" atau "pilihan majoriti ulama" atau "golongan yang selamat".

Wallahu a'lam.




Link pilihan:

Pilihan Mojoriti Ulama - Penjelasan oleh Mufti Wilayah Persekutuan

Siapakah Imam Abul Hasan Al-Asy’ari dan Asy’ariyyah

Siapakah Ahlus sunnah wal jama'ah

Ahlus sunnah wal jama’ah - golongan yang selamat

Ahli Sunnah Wal Jamaah yang benar

Ada golongan mengkafirkan fahaman al-Asya'irah

AL-ASYA'IRAH ADALAH GOLONGAN AHLI SUNNAH WAL JAMA'AH

Kebenaran dan Majoriti dalam Islam

AHLI SUNNAH WAL JAMA'AH (Asha'irah dan Maturidiyyah) ADALAH GOLONGAN MAJORITI

Huraian Hadis Satu Golongan Yang Selamat

http://bubunsupiana.blogspot.sg/2012/09/mengenal-golongan-ahlussunnah-al.html 

http://aswajaku616.blogspot.sg/2014/03/biografi-imam-abul-hasan-al-asyari-dan-asyariyyah.html 

*

Di mana silapnya fahaman Wahabi tentang Ahlus Sunnah Waljamaah

Di mana salahnya aqidah fahaman Wahabi


*

Popular Posts